Followers

Thursday 29 March 2012

Bercinta Sebelum NIKAH: Apa Kata Ketua BERCINTA’ SEBELUM NIKAH: APA KATA KETUA


Manhaj para ulama yang bijaksana: Kita mengambil kira hakikat di sebalik nama (bagaimana orang menguruskan cinta mereka) bukannya nama ('bercinta', berkapel, dsb).





“Ada yang kata ‘bercinta’ boleh. Ada yang kata tak boleh. Mana satu ni?”
“Ada yang kata ‘bercinta’ dengan niat nak kahwin, boleh. Betul ke?”
“Ada yang kata penting bercinta sebelum kahwin. Ada yang sebaliknya. Mana satu?”


   Prof. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang terkenal dengan dakwah menyeru kepada pandangan moderat menerangkan manhajnya,

“Menjadi kewajipan ke atas kita agar beriltizam dengan petunjuk terbaik iaitu petunjuk yang dibawa oleh Muhammad SAW, para khulafa’ rashidun serta para sahabat baginda yang memperolehi hidayah, yang telah diarahkan oleh baginda SAW agar mengikuti sunnah mereka dan memegangnya dengan kukuh, jauh dari cara Barat yang terlalu bebas dan cara Timur yang terlalu ketat.”

Tidak Bercampur Kecuali Atas Dasar Urusan


Mari kita teliti poin-poin penting yang boleh kita amalkan dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, spesifiknya berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
1.      Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.
2.      Wanita tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.
3.      Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang).
4.      Merasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.
5.      Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.
6.      Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.
7.      Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.
8.      Mengelakkan diri daripada khalwat.

Pesanan Pengerusi Majlis Ulama Sedunia  Tentang ‘Bercinta’


Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Mufti global, berkata,
1.      Saya ingin tegaskan apa yang selalu saya katakan, bahawa saya tidak memuji apa yang dikatakan oleh sebahagian orang tentang pentingnya bercinta sebelum menikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat. (Beliau lebih memilih perkataan 'tidak memuji' berbanding meletakkan 'hukum' samada 'haram' atau 'makruh' dsb boleh jadi kerana beliau meraikan pendapat orang yang pelbagai terhadap maksud 'bercinta'.)
2.      Ramai orang yang memulai cara bercinta ini dengan cara yang tidak benar dan adil, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan pembicaraan yang tidak jelas dan seringkali dilakukan oleh anak muda ketika mengalami waktu kosong atau bosan.
3.      Pacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh sebahagian remaja puteri, dan ini biasanya sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri.
4.      Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudian ketagihan. Awalnya bergurau tapi akhirnya serius.
5.      Banyak situasi seperti ini berdampak kepada hal-hal yang tidak terpuji. Apatah lagi apabila dilakukan di tempat-tempat gelap, didalangi perasaan dan hawa nafsu, ditambah dengan godaan syaitan.
6.      Dalam keadaan seperti ini, remaja putera dan remaja puteri boleh terjerumus dalam kesalahan dan kenistaan, sebab keduanya bukanlah malaikat yang suci, dan juga bukan para Nabi yang maksum.
7.      Lebih dari itu, kadang-kadang pacaran dilakukan oleh dua pihak yang tidak serasi dalam status sosial dan pendidikannya, sehingga keduanya dipisahkan oleh dinding pemisah dan tentangan yang menghalangnya tanpa berakhir dengan pernikahan. Dalam keadaan seperti ini, hati akan hancur berkeping-keping dan jiwa tertekan.
8.      Saya melihat cara terbaik untuk menikah adalah cara yang dilakukan oleh masyarakat Muslim Arab sebelum Barat memerangi kita. Iaitu memilih calon pasangan hidupnya dengan tenang setelah merisik keperibadian calon masing-masing.
9.      Perkara yang sesuai dirisik ialah: adakah sesuai antara keduanya dan kemungkinan akan berhasil menikah jika dilihat dari kemampuannya secara psikologi, kematangan akal, kemampuannya secara ekonomi, dan keadaan sosialnya, serta tidak ada penghalang yang akan menghambat pernikahannya dari salah satu pihak, atau keluarganya atau adat tradisi masyarakatnya, atau undang-undang negaranya dan lain sebagainya.
10.  Jika sudah merisik, seorang pemuda hendaklah dengan berani (gentlemen) datang mengetuk pintu rumah calonnya untuk menemui keluarganya. Si pemuda melihat calonnya dan wanita itu melihatnya tanpa mengetahui bahawa pemuda itu berminat kepadanya. Hal ini tidak lain untuk menjaga perasaannya, jika pemuda itu tidak tertarik kepadanya dan dia belum mendapat tempat di hatinya.
11.  Apabila kapak telah menancap di kepala, pada saat itu keluarga hendaklah melihatnya dengan bijaksana dan penuh hikmah dan tidak semena-mena dengan pendapat mereka dan menolak orang yang melamarnya tanpa sebab.
12.  Keluarga atau walinya hendaklah mengamatinya dengan baik, sebagaimana yang dianjurkan oleh hadis Nabi, “Tiada yang lebih patut kepada dua orang yang saling menyintai kecuali pernikahan.” (HR Ibnu Majah dan al-Hakim). Atau nikah adalah cara yang paling tepat untuk mengatasi hubungan cinta kasih ini, yang berhujung pada asmara dan kerinduan antara hati lelaki dan perempuan.
13.  Yang paling diperhatikan dalam Islam dari pihak suami atau orang yang melamarnya adalahagama dan akhlak, dan keduanya merupakan faktor terpenting dalam keperibadian seseorang muslimah. (Fatawa Mua’sirah, ibid, juz. 2, hal. 348-349).

Kesimpulan
Subhanallah! Luasnya skop kupasan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkenaan isu ‘bercinta’. Tidak terkurung dari kaca mata hukum fekah semata-mata. (Hukum fekah adalah soal batas minimum yang tetap ada kepentingannya). Bahkan memberi panduan terhadap aspek perlaksanaan hukum secara ideal. Ini yang seringkali kabur di mata masyarakat.
Kupasan sebegini lebih membumikan kita kepada amal dan perlaksanaan dalam realiti hari ini. Tidak lagi tersepit dalam kekeliruan antara hukum dan perlaksanaan hukum. Perlaksanaan hukum mestilah mengambil kira hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia untuk mendapat impak yang lebih hebat, di dunia dan di akhirat.
Lebih istimewa, Pengerusi Majlis Ulama Sedunia ini memberikan pandangan yang pertengahan antara golongan yang memberat-beratkan dengan golongan yang bermudah-mudah.
Batasan pergaulan yang Islam gariskan banyak kebaikannya. Ia bukan sahaja memelihara kehormatan bahkan juga melindungi daripada punca-punca keruntuhan, keretakan dan kebimbangan. Lebih jauh daripada itu, batasan ini memelihara masyarakat daripada kebinasaan.
Barat dan segelintir orang Islam sendiri menuduh batasan-batasan ini sebagai konservatif. Apa sanggahan syeikh terhadap dakwaan mereka? Kita kupas dalam artikel akan datang, insya Allah.

No comments:

Post a Comment