Followers

Friday 23 March 2012

Getaran Jiwa- Mawar Putih

Mawar putih mahkota kasih
Selembut sutera setulus air mata
Mutiara kasih anak - ayah bonda
Belaian mesra  permata jiwa
Tanpa batas ruang masa
Apakah untuk selamanya?
Mawar putih anugerah Ilahi
Berkorban nyawa bertarunglah jiwa
Melahirkan dan membesarkan
Bersama kemelut derita dan bahagia
Kasih sejati ditagih jua
Sampai bila dan bagaimana?

Mawar putih mekar suci murni
Seharum kasturi meniti masa
Ayah bonda dimamah usia
Jiwa raga kian pudar
Semakin pilu bertambah lesu
Menunggu saat penghujung nyawa
Sebuah harapan bernama memori
Tak mungkin padam di dalam hati
Pada yang kasih dan tersayang
Mawar putih seindah mimpi harapan
Setinggi gunung mencecah janji
Dekat di mata jauh di hati
Lupa diri menjadi durhaka
Tiada lagi dakapan kasih mesra
Di taman hati sudah buta dan beku
Mawar putih hilang entah ke mana
Anak berkelana cari ayah bonda dan...
di manakah jalan lurus ke pintu Firdausi?

Gurindam Syahwat

Sekian lama cinta disekat
SMS dikirim menggantikan surat
Tibalah masa janji diikat
Terciptalah sejarah di satu tempat
Taman yang indah lagi memikat
Di balik rumpun yang sukar dilihat

Mata bertentang tangan pun berjabat
Dua hati memadu erat
Kasih disulam rindu dirawat
Cinta berganding degupan syahwat
Guruh berdentum hujan pun lebat
Nafas dan nafsu berperang hebat
Tidak tertanggung kasih melarat
Hendak dicanang cinta tersemat


Kini pangkuan semakin rapat
Agungnya cinta tidak bertempat
Tiada diingat Allah dan malaikat
Inikan pula pencegah maksiat
Hilang sudah agama dan adat
Kehendak diri mencalar syariat
Ayah dan bonda dilupa sesaat

Detik berlalu berganti saat
Tubuh yang ramping kini membulat
Tiada lagi t-shirt melekat
Baju yang seksi berganti pelekat
Uda jelita menanggung sarat
Teruna dihubungi tak pernah dapat

Janji dilafaz menjadi jerat
Resah bersulam akalpun tenat
Hilanglah pegangan menggoyahkan syariat
Lalu dibuang penyambung zuriat
Baru terfikir insaf dan taubat
Sayangnya kini sudah terlambat
Takdir tuhan telah tersurat
Saat bertemu di alam akhirat
Bertanyalah Allah soalan yang empat
Adakah hartamu membawa berkat?
Adakah ilmumu menuju manfaat?
Adakah amalmu menjadi rahmat?
Umur mudamu apa kau buat?
Basahkah lidah dengat syahadat

Tika berhimpun bertimbangkan ibadat
Adakah dipilih jalan selamat
Di taman syurga yang harum memikat
Atau neraka di lorong keramat
Berlimpah peluh dan jijik keringat

Wahai sayang sedarlah cepat
Sesungguhnya dunia terlalu singkat
Ayuhlah kita mencari rahmat
Janji Allah segera disemat
Agama tak menghalang cinta sejagat
Kerana itulah nikah disunat
Agar fitrah dibimbing bertempat
Mencari damai beroleh berkat
Diri sekadar memberi nasihat
Kelemahan diri bukanlah azimat
Seandainya terguris hati melarat
Sepuluh jari disusun rapat
Ukhwah terjalin disulam erat
Restu Ilahi sama disemat

Untukmu Bidadari Dunia

Wanita adalah satu simbolik yang sering dikaitkan dengan kelembutan dan jua kesopanannya. Warna putih pula dikaitkan dengan suci dan bersih.
Sehelai kain kanvas putih pada mulanya akan diwarnakan oleh si pelukis, untuk mencorakkan apa yang diinginkan begitu juga dengan manusia, ini kerana manusia itu lahir dalam keadaan yang suci tanpa cacat cela.
Islam tidak menghalang wanita menghias diri dalam apa keadaan pun tapi haruslah mengikut garisan islam.
"Katakanlah, kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan menjaga kehormatan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang tampak darinya. Hendaklah mereka mengulurkan/menutupkan kain kudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau mertua mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau putra-putra saudara lelaki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita, atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan dan bertobatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung." - Surah Al-Nur (24): 31
Muslimah kini haruslah bergerak mencari "role model" terbaik bagi membentuk dan menyerlahkan lagi penampilan serta bakat tersendiri sepertimana Saidatina Khadijah r.a. isteri Rasulullah S.A.W.
Sebagai insan biasa kita tidak mungkin dapat menyamai Saidatina Khadijah r.a. namun sebagai hamba Allah swt, kita boleh berusaha memupuk dan menyemai sifat-sifat terpuji itu secara beransur-ansur dengan sabar.

Antara sifat-sifat terpuji itu ialah taat perintah Allah, berakhlak mulia, dermawan, sabar, tabah, cekal, penyayang, berwawasan dan berfikiran kreatif.
Keikhlasan hati beliau terletak di kedudukan langit tertinggi yang hanya boleh dicapai oleh insan yang melakukan sesuatu hanya kerana Allah swt semata-mata.
Selaras degan tuntutan kini yang dahagakan ilmu dan jua memerlukan sesuatu proses bagi menimbulkan kesedaran diri untuk menjadi yang terbaik diantara yang terbaik, maka pihak iluvislam.com ingin turut serta meyumbangkan tenaga ke arah pembentukan muslimah sejati, muslimah terbaik.
Atas dasar tangungjawab kepada Ummah, iluvislam merancang bagi mengadakan satu program yang boleh dijadikan landasan kepada para muslimah, mencari dan memperbaiki diri, di samping menambahkan ilmu pengetahuan.
Melalui misi melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah serta membentuk wanita muslimah yang berketrampilan dan kuat dengan pendedahan Islam yang lengkap, Konvensyen Bidadari Dunia ini bermatlamat melahirkan lebih ramai pendakwah mullimah sejati. Konvensyen ini juga membantu para wanita agar menjadi wanita serta anak solehah. Selain itu, ini juga memberi anjakan paradigma dalam diri setiap muslimah demi memperbaiki diri ke arah yang lebih baik disamping mengamalkan syariat Islam.
Konvensyen yang menghimpunkan 19 tokoh wanita terbaik dari pelbagai lapangan pengetahuan ini membawakan persoalan dan kisah menarik 19 tokoh terkemuka seluruh Malaysia.
Antara ahli panel yang dijemput termasuklah Dr Nikki Syuhada Shukor, Wardina Safiyyah, Catriona Norhayati Ross Bahrin, Amie Sofie, Prof. Muhaya dan ramai lagi.
Konvensyen Bidadari Dunia ini bermula dari 24 hingga 25 Mac 2012. Tuan dan puan yang berminat menyertai Konvensyen istimewa khas buat wanita ini boleh melayari www.bidadaridunia.com bagi maklumat lanjut.